KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui gagal mencapai sasaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila skuad negara hanya membawa pulang satu pingat gangsa menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, laporan bedah siasat daripada barisan kejurulatihan perseorangan yang diketuai Kenneth Jonassen dan beregu di bawah Rexy Mainaky akan menjadi asas perbincangan bagi merangka langkah seterusnya.

Beliau berkata, sesi bedah siasat akan diadakan selepas barisan kejurulatihan pulang daripada tugasan di Eropah bagi menghadapi Terbuka Artik, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Chong Wei mengakui keputusan di Aichi-Nagoya tidak memenuhi sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat perak dan satu gangsa, sekali gus memerlukan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.