SHAH ALAM - Pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan akibat mengisi petrol bercampur air berhak mendapat pampasan yang adil dan sewajarnya sekiranya pencemaran bahan api itu terbukti menjadi punca kerosakan.Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, pampasan itu bukan sahaja perlu meliputi kos membaiki kenderaan, malah perbelanjaan menunda, pemeriksaan teknikal, penggantian komponen rosak dan pengangkutan alternatif akibat kenderaan tidak dapat digunakan.Menurutnya, pengguna tidak sepatutnya dibebankan dengan proses tuntutan yang rumit atau mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan hak mereka."Syarikat petroleum perlu menyediakan mekanisme tuntutan yang mudah, telus dan cepat. FOMCA mencadangkan pemeriksaan teknikal dilakukan pihak bebas bagi memastikan punca kerosakan dikenal pasti secara adil dan pengguna tidak dinafikan hak."Tanggungjawab memastikan kualiti dan keselamatan petrol terletak pada semua pihak dalam rantaian pembekalan dan penjualan bahan api termasuk syarikat petroleum, pengedar serta pengusaha stesen minyak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Justeru, Saravanan berpandangan, mereka yang didapati bertanggungjawab perlu menanggung kerugian pengguna sekiranya berlaku pencemaran akibat kecuaian mana-mana pihak.Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan tangki simpanan, sistem penghantaran bahan api, pam minyak dan prosedur kawalan kualiti di stesen minyak terlibat."Keputusan siasatan dan ujian makmal perlu dimaklumkan secara telus kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan keyakinan pengguna terhadap isu keselamatan," katanya.Beliau turut menyarankan supaya KPDN bekerjasama dengan syarikat petroleum bagi menyediakan mekanisme penyelesaian aduan dan pampasan lebih pantas tanpa memaksa pengguna melalui proses perundangan panjang serta membebankan.Tambahnya, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil sekiranya siasatan membuktikan berlaku kecuaian atau pelanggaran peraturan."Pengguna membeli petrol dengan kepercayaan bahawa bahan api tersebut selamat dan memenuhi standard kualiti ditetapkan. Pengguna tidak sepatutnya menanggung kerugian akibat kecuaian pihak lain," tegasnya.Dalam pada itu, Saravanan berkata, setakat ini, FOMCA melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu berkenaan.Bagaimanapun, katanya, FOMCA mengambil maklum mengenai laporan yang tular dan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan."Kami mengalu-alukan mana-mana pengguna terjejas untuk tampil membuat aduan kepada FOMCA atau NCCC berserta bukti seperti resit pembelian petrol, laporan pemeriksaan bengkel dan gambar kerosakan kenderaan," tambahnya.Katanya, FOMCA akan meneliti aduan diterima sebelum membantu memanjangkan perkara itu kepada pihak penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.