Temerloh: Seramai 14 individu ditahan termasuk 10 lelaki positif methamphetamine, manakala 139 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malam tadi.
Operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu dijalankan serentak di kedua-dua arah timur dan barat dengan pemeriksaan terhadap 371 kenderaan serta 388 individu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, daripada jumlah tangkapan itu, tiga lelaki tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selepas didapati positif methamphetamine.
Katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 68 individu dengan tujuh lelaki didapati positif dadah jenis sama.








