PETALING JAYA – “Pukul 1 pagi mesti dadi (suami) dah sampai rumah, tapi pagi ini yang sampai baju dadi yang berlumuran darah.”

Demikian luahan seorang wanita yang tidak dapat menahan kesedihan apabila menerima khabar suaminya cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua treler di susur keluar Senawang, di sini malam tadi.

Menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @ayumeyz, wanita itu meluahkan rasa terkejut dengan perkhabaran insiden terbabit, apatah lagi apabila mengetahui rakan sekerja suaminya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Dalam hantaran sama, wanita itu membayangkan trauma yang mungkin dialami suaminya apabila menyaksikan sahabatnya meninggal dunia di sebelah dalam nahas berkenaan.