Ranau: Ahli Kelab Media Prima (MPC) hari ini memulakan cabaran menawan puncak Gunung Kinabalu dalam Jelajah Akinabalu 4095: Sinergi Dua Entiti dengan kerjasama Kelab Agrobank.
Ekspedisi yang turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah itu memulakan perjalanan dari Timpohon Gate menuju ke Panalaban juga dikenali sebagai Laban Rata yang berada pada ketinggian 3,273 meter (m) dari aras laut, sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi esok.
Selain kakitangan Berita Harian (BH), Harian Metro (HM), New Straits Times Press (NST) dan TV3, ekspedisi turut disertai tujuh kakitangan Agrobank.
Kolaborasi antara MPC dan Kelab Agrobank memberi peluang kepada kakitangan kedua-dua organisasi untuk menyertai aktiviti luar yang mencabar, selain menguji ketahanan fizikal dan semangat berpasukan sepanjang ekspedisi.






