Muar: "Arwah beberapa kali minta saya sediakan pakaian bersih. Barulah saya tahu itu adalah permintaan terakhirnya sebelum dia pergi buat selama-lamanya."

Ini kata Azira Abdul Karim, 37, mengenai pemergian suaminya, Muhammad Goy Wee San Abdullah, 45, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika menghantar pesanan di Melaka, 10 Oktober lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Utama Kandang–Ayer Molek itu, Muhammad Goy yang bekerja sebagai penghantar makanan mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia dua hari kemudian.

Menurut Azira, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada ibu saudaranya yang memaklumkan polis menghubunginya berhubung kemalangan itu.