KYIV: Ukraine menuduh Amerika Syarikat (AS) secara tidak langsung membantu Russia dengan tidak memberikan amaran awal mengenai serangan peluru berpandu Moscow dan mengehadkan sistem internet satelit Starlink yang penting bagi operasi dron tentera Kyiv di medan perang.

Pertikaian diplomatik itu tercetus selepas serangan peluru berpandu balistik selama dua malam berturut-turut menyasarkan ibu negara Kyiv, dengan siren amaran serangan udara gagal dibunyikan sebelum sasaran dibedil.

Serangan itu mengorbankan 15 orang di seluruh Ukraine dan merosakkan beberapa loji janakuasa di Kharkiv, Zhytomyr, Sumy dan Chernihiv.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam tindakan menafikan akses kepada maklumat perisikan itu sebagai sama sekali tidak adil, menegaskan Moscow menunjukkan sikap tidak menghormati AS secara terang-terangan apabila melanggar gencatan senjata tenaga yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump.