YALA (THAILAND): Lima anggota polis cedera selepas sekumpulan penyerang tidak dikenali membaling dua bom buatan sendiri (IED) ke arah berek kediaman dan pos kawalan keselamatan di Kampung 3, Mukim Bannang Sata, semalam.
Kejadian pada pukul 6.40 petang itu berlaku semasa anggota polis sedang berehat selepas menunaikan solat Maghrib. Bagaimanapun, sebutir lagi bom yang dibaling ke arah pos kawalan tidak meletup.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lima anggota yang cedera ialah Sarjan Mejar Harun Maseng, Sarjan Mejar Ibrahim Tinguseng, Sarjan Mejar Maroning Hajeena, Sarjan Mejar Abdulbasae Jena dan Sarjan Amri Toedeng.
Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Daerah Bannang Sata untuk mendapatkan rawatan lanjut.






