PEMBANGUNAN pesat dalam sektor perindustrian, kesihatan dan penyelidikan di Malaysia telah meningkatkan kebergantungan terhadap teknologi menggunakan tenaga atom.
Penggunaan teknologi ini hadir bersama risiko yang tinggi jika tidak dikendalikan dengan bertanggungjawab. Daripada pengujian ketahanan paip di sektor minyak dan gas sehinggalah kepada rawatan kanser di hospital, teknologi ini membawa pelbagai manfaat.
Kelancaran operasi yang mengaplikasi teknologi ini perlu diselia bagi memastikan keselamatannya, dan tanggungjawab ini digalas oleh Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS).
Bagi memastikan keselamatan terpelihara, Jabatan Atom Malaysia (Atom Malaysia) telah menetapkan piawaian kompetensi yang ketat. Sistem yang diunjurkan melalui Skim Persijilan PPS dan Program Pendidikan Berterusan (CEP) ini diwujudkan bagi melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten, malahan mempunyai pengetahuan luas dan berintegriti tinggi dalam mengendalikan sumber sinaran.






