KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan negeri memeterai 12 perjanjian kerjasama bernilai RM421 juta sempena penyertaannya di Selangor International Business Summit (SIBS) 2026.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama berkenaan merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk teknologi digital, tenaga, perindustrian, pendidikan, perumahan dan pelancongan.

Menurut beliau, penyertaan Pahang di SIBS 2026 memberi penekanan kepada pembangunan Pahang Barat, selain terus meneroka potensi ekonomi di Pahang Timur.

“Kedua-dua wilayah ini perlu dibangunkan secara seimbang dan saling melengkapi bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih menyeluruh, mampan dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.