MANILA: Enam syarikat di Filipina dikenakan denda berjumlah 1.76 bilion peso (RM114 juta) kerana membentuk kartel bawang yang menyebabkan harga bahan makanan itu melonjak mendadak pada 2022.
Harga bawang ketika itu mencecah paras rekod 800 peso sekilogram, mengatasi kadar gaji minimum harian negara itu serta harga daging.
Kenaikan harga berkenaan mencetuskan krisis bekalan dan memberi tekanan kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr yang baru memegang jawatan ketika itu, selepas berjanji untuk menurunkan harga makanan.
Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) pada Rabu memaklumkan denda terhadap enam syarikat itu merupakan yang terbesar sejak penubuhannya pada 2016.









