Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah mengambil sampel petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Tanah Merah minggu lepas susulan dakwaan seorang pengguna bahawa kenderaannya rosak selepas mengisi bahan api itu.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sampel bahan api itu telah dihantar ke Jabatan Kimia, namun keputusan analisis makmal masih belum diperoleh dan dijangka diketahui dalam masa terdekat.
"Sekiranya hasil analisis mengesahkan petrol berkenaan bercampur air, KPDN akan mengambil tindakan lanjut bagi menjalankan siasatan berhubung perkara itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDN Kelantan, di sini hari ini.
Hanif Yusabra menggalakkan pengguna lain yang mengalami masalah sama supaya tampil membuat aduan kepada KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.






