KUALA SELANGOR: Tiga premis perniagaan diarahkan tutup, manakala 18 kompaun dikeluarkan dalam operasi bersepadu membabitkan premis warga asing di Pusat Niaga Astana Alam, Bandar Puncak Alam, kelmarin.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) turut mengeluarkan empat notis dan empat tindakan sitaan serta rampasan hasil pemeriksaan ke atas tujuh premis.

Operasi bersepadu 40 anggota membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor serta Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dan Jabatan Pelesenan MPKS.

MPKS dalam kenyataan, berkata operasi dijalankan susulan aduan awam dan hasil pemantauan yang mendapati wujud premis beroperasi tanpa lesen sah serta gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.