JAKARTA: Kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya terus melanda beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, dengan 354 titik panas dikesan di seluruh negara ketika operasi memadam kebakaran hutan dan tanah masih giat dijalankan.

Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan pemantauan terkini oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menunjukkan pencemaran udara yang serius masih berterusan di beberapa wilayah terjejas akibat kebakaran.

"Pemantauan BMKG menunjukkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat dan berbahaya masih berlaku di Kalimantan Tengah serta beberapa kawasan di Kalimantan Selatan. Di Sumatera, keadaan sama turut dilaporkan di Sumatera Selatan dan Jambi," menurut kementerian itu menerusi kemas kini terbaru di media sosial.