KUALA LUMPUR: Bayangan meraih pingat perak buat kali ketiga berturut-turut di Kejohanan Badminton Remaja Dunia hampir menghantui Low Zi Yu sebelum dia bersama Genevie Lim menamatkan penantian dengan merangkul gelaran juara beregu wanita di Kaherah, Mesir, semalam.

Zi Yu mengakui tekanan memuncak ketika perlawanan akhir berlanjutan ke set penentuan, malah dia mula membayangkan sejarah lalu berulang selepas dua kali sebelum ini terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

"Saya sangat gembira kerana kali ini dapat memenangi pingat emas. Ketika set terakhir, saya sangat gementar dan menyangka akan memperoleh pingat perak ketiga di Kejohanan Remaja Dunia.

"Saya sangat bertuah kerana akhirnya dapat memenangi emas ini," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).