HULU SELANGOR – Sebuah lori membawa muatan ayam segar hilang kawalan akibat kebocoran tayar sebelum terbabas dan dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 421 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua pemandu berusia lingkungan 20an dan 40an terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Rawang menuju ke Felda Gedangsa sebelum tayar belakang sebelah kiri dipercayai bocor."Keadaan itu menyebabkan lori tersebut hilang kawalan sebelum terbalik melintang di sebelah kiri jalan."Sebuah kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian bawah lori yang terbalik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Sebelum ini tular rakaman video memaparkan muatan ayam segar dibawa sebuah lori bertaburan di lebuh raya di sini dalam kemalangan.Beliau berkata, muatan ayam segar yang dibawa lori itu turut tercampak ke atas jalan, termasuk di lorong kecemasan dan lorong kiri.Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi bin MT Abu @ Ramli, di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.