JAKARTA: Selepas mencuba bahan pemadam api berasas tepung ubi kayu dan penggunaan ais kering, Indonesia kini mengambil inisiatif menguji gel dari Brazil untuk membendung kebakaran tanah gambut yang terus melanda negara itu.
Bagaimanapun, keberkesanan gel dikenali sebagai Realiza Antichamas itu masih belum dapat dipastikan, terutama dalam memadamkan kebakaran di bawah permukaan tanah.
Pengeluarnya, Grupo Realiza, mendakwa produk yang membentuk bahan seperti gel selepas dicampurkan dengan air itu mampu meningkatkan keberkesanan sehingga 10 kali ganda dalam memadamkan kebakaran.
Namun, ujian setakat ini belum membuktikan keupayaan gel itu memadamkan kebakaran di bawah permukaan tanah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya untuk menangani kebakaran gambut yang sukar dikawal.









