ROMPIN – Pesawah di daerah ini berada dalam keadaan tertekan apabila modal RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan mereka ditumbuhi pokok keladi jenis agas dan paku rawan secara agresif sejak empat bulan lalu.

Fenomena luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku hingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.

Jumlah kerugian itu berdasarkan kepada purata modal asas pe­ringkat awal penanaman padi bagi separuh kawasan sawah yang terjejas ­teruk dan tidak termasuk bendang yang terkena serangan tersebut.

Pesawah, Mohd. Fadzil Mahmud, 42, berkata, sebahagian bendang yang diusahakan seluas 12 hektar terjejas akibat serangan keladi itu menyebabkan tanaman untuk menghasilkan beras itu tidak dapat tumbuh.