PETALING JAYA – Kesesakan barisan pengunjung untuk menaiki bas perantara sempena perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi mencetuskan rungutan.

Menerusi satu hantaran di Threads Fteenzlkha, dia mendakwa keadaan pada hari kedua penganjuran lebih teruk berbanding semalam apabila dia terpaksa berdiri lebih empat jam untuk menunggu perkhidmatan berkenaan.

Katanya, keadaan semalam sudah reda menjelang pukul 9 malam, namun situasi hari ini masih kelihatan sama walaupun waktu sudah melepasi 9 malam.

“Semalam pada pukul 9 malam keadaan sudah reda. Hari ini pada pukul 9.05 malam masih kelihatan seperti ini,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang berkongsi pandangan mengenai pengurusan pengangkutan keluar dari litar.