LIMA trofi menjadi milik Mimi Fly pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25). Selepas 18 tahun dalam industri, kemenangan itu tentu bukan sesuatu yang kecil. Tetapi di sebalik lima trofi tersebut, ada persoalan lebih besar; adakah kita benar-benar menghargai karya, atau hanya mula menghargainya selepas ia terbukti berjaya?

Kita hidup dalam zaman yang terlalu mudah mengira kejayaan. Berapa banyak tontonan? Berapa juta penstriman? Berapa ramai pengikut? Masuk carta atau tidak? Semua itu penting, tetapi angka tidak pernah menceritakan keseluruhan perjalanan seorang artis.

Lagu yang tular hari ini belum tentu kita ingat beberapa tahun lagi. Ada pula karya yang mengambil masa untuk diterima. Masalahnya, apabila trend menjadi ukuran utama, artis juga mudah terdorong menghasilkan apa yang sudah terbukti mendapat perhatian.