PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan menyeluruh berhubung pengurusan, tatakelola kewangan serta pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya memandang serius dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini yang menunjukkan pelbagai kelemahan ketara dalam projek pembangunan itu.
Ia termasuk berkaitan pengurusan wang awam, termasuk ketidakpatuhan terhadap peraturan dan tatacara kewangan, perbelanjaan berlebihan akibat pengurusan projek yang lemah dan kelewatan melampau .
Katanya, isu penyaluran dana serta pembayaran yang telah dibuat sebanyak 94.6 peratus atau bersamaan RM10.547 bilion daripada RM11.153 bilion peruntukan yang diterima iaitu hampir keseluruhan bajet yang diperuntukkan bagi projek tersebut juga akan diberikan perhatian dalam siasatan berkenaan.






