Kunak: Polis menahan 12 remaja lelaki bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di Padang Pekan Kunak, di sini, yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Ak Angong berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak mengesan video berkenaan kira-kira jam 8 malam tadi, yang memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tempat awam.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku di Padang Pekan Kunak.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota berjaya mengesan dan menangkap 12 remaja lelaki secara berasingan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.