Kuala Lumpur: Selepas menempuh cabaran menunggang kuda sejauh 120 kilometer (km) pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2024 di Lembah Bidong, Terengganu, Mohd Suhairi Ramly sebenarnya mempunyai alasan untuk berehat.
Namun, atlet berusia 41 tahun itu memilih membantu rakannya yang masih berjuang menamatkan pertandingan, tanpa menyangka tindakannya itu membawa kepada insiden yang mengubah kehidupannya.
Ketika berlari untuk memberikan air kepada rakannya dalam keadaan gelap di kawasan hutan, Mohd Suhairi tiba-tiba terjatuh dan mengalami kesakitan pada paha kanan sehingga tidak mampu bangun serta mengangkat kakinya.
"(Ketika itu) gelap, dalam hutan. Saya tidak tahu sama ada kuda tendang atau saya tersalah langkah. Saya tidak pengsan tetapi tidak boleh bangun, kaki pun tidak boleh angkat. Paha pula bengkak," katanya kepada Bernama.









