LONDON: Bintang Brighton, Diego Gomez menampilkan aksi seakan-akan legenda bola sepak, David Beckham menerusi jaringan menakjubkan dari garisan tengah padang ketika menentang Crystal Palace.

Jaringan pada minit ketujuh itu yang dianggap antara calon gol terbaik musim ini membantu Brighton melonjak ke kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Crystal Palace 5-0.

Pemain antarabangsa Paraguay berusia 23 tahun itu mengawal bola di kawasan sendiri sebelum berpusing dan melepaskan rembatan dari garisan tengah padang untuk menewaskan penjaga gol Palace, Walter Benitez, menggunakan kaki kanan.

Brighton terlebih dahulu berada di depan pada minit keempat menerusi gol sendiri Jaydee Canvot dan selesa mendahului 3-0 pada minit ke-10 selepas Yasin Ayari turut mencatat nama sebagai penjaring sebelum Charalampos Kostoulas dan Jack Hinshelwood menambah dua lagi gol pada babak kedua.