PETALING JAYA: Ibarat menyelak helaian baharu dalam perjalanan seni, penyanyi Misha Omar bakal mengajak peminat menelusuri sisi berbeza dirinya menerusi Showcase Aku & Lelaki di JioSpace, di sini, pada 24 Oktober ini.

Tidak sekadar menyajikan persembahan muzik, showcase eksklusif itu mengetengahkan sisi maskulin dan feminin yang saling melengkapi dalam kehidupan, selain memberi ruang kepada penyanyi berusia 45 tahun itu untuk menyuntik sentuhan peribadi terhadap karya penyanyi lelaki yang dikaguminya.

Bagi Misha, konsep berkenaan turut menjadi ruang untuk meraikan lelaki yang pernah mewarnai perjalanan hidup dan kerjayanya, termasuk suami, Allahyarham bapanya serta barisan penyanyi lelaki yang menjadi sumber inspirasi.