SHAH ALAM – Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di beberapa negeri dan lokasi terpilih bermula Isnin bagi meningkatkan taburan hujan.Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa operasi itu dijalankan di Johor pada 19 dan 20 Oktober, manakala pada 21 hingga 23 Oktober, operasi berkenaan akan dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)."Sama-sama kita doakan agar operasi ini berjalan lancar dan membawa rahmat buat bumi bertuah ini!"Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini menerusi aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MET Malaysia," menurut hantaran di Facebook pada Isnin.Sebelum ini, NADMA dengan kerjasama MET Malaysia dan TUDM melaksanakan OPA di Sarawak, Kedah dan Perlis pada 3 hingga 5 September lalu susulan keadaan jerebu yang semakin teruk, terutama di Sarawak.Operasi tersebut melibatkan Empangan Batang Ai, Bakun, Murum, Bengoh, Gerugu, Assyakirin, Sika dan Matang di Sarawak; Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris di Kedah; serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 27 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini.Antara kawasan yang mencatatkan bacaan tersebut ialah Melaka dengan IPU 165, diikuti Negeri Sembilan (164), Kuala Lumpur (162), Selangor (160) dan Putrajaya (155).Tujuh kawasan di Johor turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Tangkak (164), Pasir Gudang (162), Batu Pahat (158), Kota Tinggi (157), Kluang (153), Larkin (153) dan Pengerang (132).