am@hmetro.com.my

Kuching: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 4 Sarawak bermula hari ini sehingga lusa dengan tumpuan di kawasan empangan utama negeri ini bagi memastikan bekalan air mencukupi susulan fenomena El Nino.

Operasi berkenaan dilaksanakan mengikut dua zon ditetapkan METMalaysia, membabitkan beberapa empangan yang memerlukan tambahan takungan air hujan bagi mengelakkan paras air berada pada tahap kritikal.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), operasi hari ini ditumpukan di kawasan empangan di Belaga iaitu Bakun dan Murum, selain empangan Sika dan Assyakirin di Bintulu.

OPA membabitkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Sarawak Water, Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).