Keadilan bukan sahaja perlu dilaksana dan ditegakkan, bahkan mereka yang berhak mesti memperolehnya dalam tempoh munasabah. Hakikatnya, persoalan keadilan mempunyai kedudukan penting dalam Islam, bertepatan dengan gesaan dalam surah an-Nisa' ayat ke-58, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil."
Bagaimanapun, jika seseorang hakim mahkamah syariah terpaksa mengendalikan sehingga 20 atau 30 kes sehari atau purata kira-kira 1,000 kes setahun seperti dalam laporan eksklusif akhbar ini, sejauh mana keadilan dapat dilaksanakan, manakala individu yang menuntut hak memperoleh apa yang sepatutnya dan individu didakwa pula mendapat pengadilan sewajarnya? Justeru, pendedahan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengenai beban tugas hakim, terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, perlu dipandang serius.








