BUKAN selalu peminat dapat lihat penampilan artis Bollywood di Malaysia. Baru-baru ini pelakon terkenal Tamannaah Bhatia hadir ke Johor Bahru bagi merasmikan pelancaran koleksi berlian baharu Yazhini Gold & Diamonds, di premis jenama berkenaan di Jalan Segget.
Ratusan peminat sanggup menunggu selama berjam-jam di bawah terik matahari semata-mata mahu melihat kelibat bintang filem Baahubali itu secara dekat.
Seawal pukul 10 pagi, peminat sudah mula memenuhi kawasan berkenaan dengan membawa poster dan mereka sanggup menunggu sehingga pukul 2.50 petang waktu ketibaan aktres itu. Ketika tiba, Tamannaah juga juga sempat menyapa, bergambar swafoto dan bersalaman dengan peminat.
“Saya sangat gembira melihat semua masih berada di sini dan mempunyai tenaga yang tinggi walaupun cuaca panas petang ini,” katanya kepada peminat.









