SHAH ALAM – Pada mulanya mungkin sekadar singgah untuk menikmati secawan kopi, namun lukisan abstrak yang menghiasi ruang Warunk Koffie boleh mencetuskan rasa ingin tahu pelanggan terhadap dunia seni.Itulah pengalaman yang mahu diketengahkan pelukis Azriff Abu Noh, 60, atau lebih mesra dipanggil Uncle Fie yang menjadikan kafenya sebagai ruang untuk orang ramai melihat, bertanya dan mengenali seni dalam suasana santai."Uncle nak seni lebih mudah diakses. Bukan semua orang biasa pergi ke galeri seni, jadi uncle suka idea orang boleh melihat dan menghargai seni sebagai sebahagian daripada pengalaman harian," katanya kepada Sinar Harian.Azriff berkata, idea berkenaan tercetus daripada keinginan menjadikan kafe perusahaannya sebagai galeri seni peribadi untuk memperkenalkan gaya seni tersebut kepada pengunjung.Dia turut berasa gembira apabila pengunjung menunjukkan minat terhadap lukisan, termasuk mereka yang sebelum ini yang tiada pendedahan mengenai seni abstrak."Bagi uncle, pengalaman macam itu pun dah cukup bermakna. Sekurang-kurangnya mereka meluangkan masa untuk mengenali karya tersebut," katanya.Warunk Koffie berkembang daripada Wood & Steel Design, perniagaan perabot tempahan khas diasaskan oleh Azriff yang menawarkan rekaan moden berasaskan kayu dan besi untuk kediaman serta ruang komersial.Idea menggabungkan perniagaan perabot tempahan khas dan kafe kemudian direalisasikan bersama dua anaknya, Adam, 32, dan Ierfan, 34, yang mempunyai pengalaman dalam bidang kreatif serta kopi.Konsep itu menghimpunkan makanan, minuman, perabot dan seni dalam satu ruang, manakala barangan yang dipamerkan turut ditawarkan untuk dibeli pengunjung.Azriff yang merupakan cucu kepada tokoh seni Allahyarham Abdullah Ariff berkata, dia tidak pernah mengenali datuknya secara peribadi namun kisah yang dikongsi ahli keluarga tetap menjadi inspirasi kepadanya.Menurutnya, meneruskan legasi datuk tidak bermaksud perlu menghasilkan karya dengan gaya yang sama, sebaliknya membawa inspirasi itu ke hadapan sambil mencari identiti sendiri sebagai seorang pelukis."Walau berbeza macam mana pun gaya kami, datuk akan sentiasa menjadi inspirasi dan uncle bangga dapat membawa sebahagian daripada legasi beliau," katanya.