Sepang: Seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah dekat Dengkil, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam tadi.
Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di Hospital Putrajaya," katanya dalam kenyataan hari ini.










