ARAU – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun berjaya diselamatkan selepas polis menyerbu sebuah premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran, di sini semalam.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, polis turut menahan dua lelaki yang disyaki mempromosikan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi MiChat.

Katanya, kedua-dua suspek itu juga disyaki melakukan eksploitasi seks terhadap kanak-kanak.

“Serbuan menerusi Ops Noda tersebut dilakukan selepas pihaknya menjalankan siasatan dan risikan terhadap premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.