JEREBU rentas sempadan kembali mencemarkan ruang udara Malaysia. Ruang udara yang lazimnya menawarkan langit yang biru, bertukar kelabu.

Udara yang bersih dan menyegarkan menjadi ancaman kesihatan, manakala kehidupan harian rakyat sekali lagi terpaksa disesuaikan dengan krisis pencemaran yang berulang. Persoalannya, sampai bilakah Malaysia dan negara-negara jiran harus berdepan dengan bencana yang sama saban tahun.

Krisis jerebu yang melanda rantau ini pada Oktober 2026 memperlihatkan bahawa isu pencemaran udara rentas sempadan masih belum diselesaikan secara tuntas.

Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia, yang diburukkan lagi oleh keadaan cuaca yang kering ekoran fenomena El Nino, telah menghasilkan asap yang bergerak merentasi sempadan negara.