PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan sewajarnya permintaan supaya laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki didedahkan kepada umum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertimbangan itu akan dibuat sekiranya terdapat keperluan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, perkara itu termasuk perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta serta kepentingan pihak berkaitan.
“Isu pemilikan dan perisytiharan harta termasuk pegangan saham bekas Pesuruhjaya SPRM itu telah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026.










