KUALA LUMPUR: RedPlanet Bhd menyasarkan penyertaan dalam lebih banyak projek geospatial dan sistem rel pintar berskala besar bagi memacu pertumbuhan perniagaan selepas memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Urusannya, Lian Wah Seng, berkata syarikat itu memiliki buku pesanan bernilai RM51.74 juta, selain menunggu keputusan bagi 11 tender bernilai keseluruhan RM132.05 juta.

"Buku pesanan sedia ada dan tender yang masih menunggu keputusan memberikan kami peluang untuk mengembangkan perniagaan, khususnya dalam segmen geospatial dan sistem rel pintar.

"Kami juga menyasarkan untuk menyertai lebih banyak projek berskala besar bagi meningkatkan keupayaan dan memperkukuh kedudukan RedPlanet dalam pasaran," katanya dalam temu bual menerusi e-mel bersama BH.