KUALA LUMPUR: NWE Resources Group Bhd menjangkakan peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan dalam Belanjawan 2027, selain pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) hingga 2027, akan merancakkan permintaan kelengkapan hospitaliti yang dibekalkan kumpulan itu.
Pengarah Eksekutifnya, Tan Chor Han, berkata peningkatan ketibaan pelancong dan kadar penghunian hotel dijangka memberi kesan positif kepada perniagaan kumpulan yang membekalkan pelbagai kelengkapan bilik hotel, termasuk syampu, produk penjagaan diri dan barangan keperluan penginapan.
Beliau berkata, pesanan daripada pelanggan hotel menunjukkan peningkatan pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat prestasi bercampur-campur pada separuh pertama, antaranya dipengaruhi ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.










