Kuala Lumpur: Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin mendedikasikan pingat emas Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang diraihnya semalam kepada isteri tercinta, Clarissa Jude sebagai hadiah sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka hari ini.
Bonnie berkata, sokongan dan motivasi yang diberikan isterinya banyak membantu dalam usaha mempertahankan kejuaraan dalam kategori 72 kilogram (kg) pada temasya berkenaan.
"Saya mahu berikan pingat ini kepada isteri. Dia banyak memberi sokongan kepada saya dan saya berterima kasih kepadanya," katanya dalam temu bual bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Semalam, Bonnie menyumbang pingat emas kedua kontinjen negara selepas melakukan angkatan keseluruhan 225kg.









