Kuala Lumpur: Cadangan pembinaan Terowong SMART 2 bagi mengurangkan risiko banjir di lima kawasan berisiko di Selangor disifatkan baik, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kos dan kesan kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) Muhammad Nizam Alias berkata, pertimbangan kerajaan diperlukan terutama dari segi kos pembinaan dan pengambilan tanah bagi menjayakan projek itu.
"Ini cadangan yang bagus untuk mengurangkan risiko banjir. Cuma, perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan adalah dari segi kos kerana ia juga akan memberi kesan kepada rakyat termasuk membabitkan pengambilan tanah dan sebagainya.
"Jadi terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan ini," katanya pada sesi Taklimat Media dan Lawatan ke Terowong SMART di pejabat Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), di sini, hari ini.









