Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, selepas diuji dengan penerbangan dibatalkan pada 12 Oktober lalu, hari ini kami sekeluarga akhirnya selamat menjejakkan kaki di Tanah Suci.
"Perasaan memang bercampur baur antara gembira dan tidak percaya, syukur Ya Allah kerana menerima kami sebagai tetamu Mu," demikian luahan Zainudin Alibawa, 32.
Ahli perniagaan dari Kluang itu sebelum ini terkandas bersama lebih 140 jemaah umrah akibat pembatalan penerbangan syarikat penerbangan Malaysia Airlines sejak 12 Oktober lalu susulan konflik di Asia Barat.
Menurut Zainudin, dia bersama 10 ahli keluarganya serta 30 jemaah lain di bawah kelolaan TITIM Travel menaiki penerbangan gantian pada Isnin lalu dan selamat tiba di Madinah pada 1.30 pagi (waktu tempatan) semalam.










