Kuching: Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam masa terdekat semakin hangat, susulan khabar angin Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, akan membuat pengumuman Jumaat ini.
Terdapat juga spekulasi bahawa pengumuman berkenaan mungkin dibuat hari ini, bersempena hari terakhir Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19.
Bagaimanapun, keputusan membubarkan DUN bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 terletak di bawah prerogatif Premier Sarawak.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata PRN, berkemungkinan diadakan pada Disember ini, dengan 12 atau 19 Disember antara tarikh yang dilihat sesuai.










