KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira kos dan kesan kepada rakyat sebelum menerima cadangan pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) 2 bagi mengurangkan risiko banjir di lima kawasan berisiko di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), Muhammad Nizam Alias, berkata meskipun cadangan itu baik, pertimbangan kerajaan diperlukan terutama dari segi kos pembinaan dan pengambilan tanah bagi menjayakannya.
"Ini cadangan bagus untuk mengurangkan risiko banjir. Cuma, perkara perlu dipertimbangkan kerajaan adalah dari segi kos kerana ia juga akan memberi kesan kepada rakyat, termasuk membabitkan pengambilan tanah dan sebagainya," katanya pada Sesi Taklimat Media dan Lawatan ke Terowong SMART di pejabat Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) di sini, hari ini.








