KUALA LUMPUR: Tokoh korporat Dr Wan Hasni Wan Sulaiman memuji keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kembali isu salah laku korporat yang didakwa berlaku sejak penghujung 1990-an, termasuk tindakan pihak tertentu menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mengambil alih aset serta perniagaan.
Beliau yang juga pengasas syarikat Abrar Group International berkata langkah Perdana Menteri itu membuka ruang untuk meneliti semula ketidakadilan yang didakwa menimpa sejumlah tokoh korporat serta syarikat termasuk diri dan syarikatnya sejak hampir tiga dekad lalu.
Wan Hasni berpandangan kegiatan yang didakwanya berlaku itu bersifat sistemik dan memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk terhadap kemungkinan penyalahgunaan instrumen perundangan serta institusi kerajaan bagi menekan pihak tertentu.










