Kuala Lumpur: "Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, bendera kita berbeza tetapi apabila sesak nafas deritanya sama," kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berhubung gesaannya supaya ASEAN memulaukan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan yang terus berulang.

Syed Saddiq berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat sebagai pertelingkahan antara dua negara, sebaliknya ia perlu ditangani melalui tindakan berasaskan bukti terhadap mana-mana pihak yang didapati mencemarkan alam sekitar.

Menurutnya, mana-mana syarikat dari Malaysia, Indonesia atau Singapura yang terbukti membakar hutan demi keuntungan perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang Indonesia.