KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pelancongan domestik turut menunjukkan momentum positif apabila 151.6 juta pergerakan pelawat dicatatkan dalam separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus daripada 143.5 juta pada tempoh sama 2025.

Tourism Malaysia berkata momentum itu terus disokong menerusi penganjuran program yang menggabungkan pelancongan, budaya, hospitaliti dan tarikan gaya hidup, termasuk Citrawarna Speed Festival 2026 yang berlangsung selama 12 hari dari 23 September hingga 4 Oktober.

Festival berkenaan berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama KLIA, dengan gabungan seni, budaya, sukan permotoran serta pengalaman interaktif.