KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat bola sepak untuk menyaksikan semula aksi bintang legenda akhirnya terubat apabila pasukan Premier League Legends dan World Legends berentap dalam perlawanan AllStar Legends yang berlangsung meriah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.

Aksi lima lawan lima itu berlangsung selama 20 minit bagi setiap babak, menyaksikan deretan nama besar dunia kembali menghiburkan peminat menerusi perlawanan yang penuh aksi dan pesta gol.

Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua legenda tempatan, Razman Roslan dan Syed Adney yang berpeluang beraksi bersama barisan pemain ternama dunia dalam perlawanan berkenaan.

World Legends membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi Jaap Stam sebelum Razman menggandakan kelebihan pada minit ke-15 hasil hantaran cantik Javier Saviola.