GEORGE TOWN: Dua pendaki lelaki berusia 25 tahun diselamatkan selepas tersesat di dalam hutan berhampiran Taman Belia, Kebun Bunga di sini, malam ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.11 petang tadi.
Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan dibantu oleh tiga anggota polis.
"Pencarian dilakukan berdasarkan lokasi dikongsi mangsa melalui aplikasi WhatsApp," katanya.
John berkata, kedua-dua lelaki itu ditemui selamat pada jam 7.42 malam iaitu kira-kira dua kilometer dari kaki bukit.








