GIFU: Ketua jurulatih hoki negara, Brendon Carolan mengakui kelekaan ketika bertahan memakan diri selepas Speedy Tigers tewas 1-5 kepada juara bertahan, India pada final hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Mengulas aksi final, Carolan menyifatkan kelemahan bertahan ketika pukulan sudut penalti (PC) sebagai masalah utama yang membolehkan India menguasai perlawanan.
"Memberikan pukulan sudut penalti yang mudah menyebabkan kami hilang kawalan permainan dan selepas itu kami terpaksa mengejar kerana sudah ketinggalan gol," kata Carolan.
"Bertahan ketika PC, pada detik penting menjejaskan kami. Ia hampir merugikan kami ketika menentang Pakistan dan ia benar-benar menghukum kami hari ini."








