PASIR MAS: Buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk merosakkan dan menceroboh sebuah masjid di Kampung Berangan, Tumpat, pada 5 Oktober lalu.
Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memecahkan cermin dan merosakkan permaidani Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, dengan menyimbah cecair berbau busuk, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan dianggap sebagai keaiban terhadap agama Islam oleh penganutnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.








