PETALING JAYA: Kegiatan sebuah gudang di Bukit Belimbing, Seri Kembangan dekat sini menjadi tempat menyeludup barangan elektrik import tanpa kelulusan sebelum menjualnya kepada pengedar menggunakan invois pembelian tempatan terbongkar selepas diserbu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Hasil serbuan itu sebanyak 9,286 unit barangan elektrik pelbagai jenis dan fungsi yang dipercayai tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA) daripada Suruhanjaya Tenaga serta kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) dirampas.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk duti import dan cukai dianggarkan berjumlah RM1.33 juta.
Menurutnya, nilai barangan yang disita dianggarkan RM1.01 juta manakala duti import dan cukai yang terlibat berjumlah RM323,904.








