BANGKOK: Thailand merancang untuk mengetatkan kawalan ke atas ganja dan meningkatkan hukuman bagi pelanggaran undang-undang sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk memperkukuh langkah penguatkuasaan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di negara itu.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata cadangan pindaan terhadap Akta Narkotik berkaitan ganja sudah dibincangkan pada Mesyuarat Ketiga Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) tahun ini pada Khamis.
"Dasar dadah mesti berasaskan bukti saintifik, fakta dan kepentingan awam," katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang Kerajaan Diraja Thailand.
Beliau berkata, kerajaan akan mengekalkan perbezaan yang jelas di antara penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan penggunaan rekreasi.






